
NILAI – He & She Coffee, jenama kopi premium Bumiputera, kini telah membuka cawangannya yang terbaru di Jabatan Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kafe ini dilancarkan secara rasmi pada 8 Mei 2024 oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas He & She Sdn. Bhd., Encik Zulkiflee Yusof.
Dengan slogan “Precious moment in a cup”, He & She Coffee dikenali dengan kepakaran mereka dalam menyediakan minuman berasaskan biji kopi premium. Ini adalah cawangan ke-42 di Malaysia, seiring dengan inisiatif Iqra @ USIM Library yang diperkenalkan oleh pengasas kafe ini.
Dalam ucapannya, Encik Zulkiflee Yusof menyatakan, “Tujuan utama penubuhan kafe ini adalah untuk membantu mahasiswa mendalami ilmu pengetahuan dan keusahawanan, selain memberikan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan.”
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, turut menzahirkan penghargaan kepada He & She, dan berharap kerjasama ini dapat diperluaskan, terutama dalam perkongsian ruang kafe untuk aktiviti ilmu dan program lain di USIM.
“Saya sangat menghargai konsep ‘Learn and Earn’ yang diperkenalkan oleh He & She dalam membantu 10 orang pelajar USIM bekerja sambilan sebagai barista, mempelajari ilmu dan kemahiran keusahawanan serta meraih pendapatan,” tambahnya lagi.
Nurul Izzati Batrisyia Mohamad Azizan, pelajar tahun tiga Program Fiqh dan Fatwa Fakulti Syariah dan Undang-Undang, yang juga bekerja sebagai barista sambilan, berkongsi minatnya dalam bidang kopi. Baginya, bekerja di kafe ini adalah seperti “sambil menyelam minum air” kerana dia berpeluang mempelajari selok-belok perniagaan dan kemahiran komunikasi, selain bercita-cita mengusahakan perniagaan sendiri suatu hari nanti.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini telah terbiasa mencari pendapatan sampingan sejak berusia 15 tahun dengan bekerja di pasar malam. “Kita tidak harus malu untuk belajar sambil bekerja, tetapi perlu ingat bahawa pelajaran adalah yang paling utama,” ujarnya.
Pembukaan kafe ini mendapat sambutan hangat dari kalangan pelajar USIM. Kafe ini memberikan nilai tambah kepada kemudahan rujukan dan penyelidikan, menjadikan pembelajaran lebih bermakna sambil menikmati minuman kopi.
He & She Sdn. Bhd. turut menyumbangkan 500 keping Baucar Rahmah bernilai RM5.00 setiap satu kepada warga USIM, dengan jumlah keseluruhan RM2500.00. Replika kunci kafe cawangan USIM diserahkan kepada Muhammad Faiq Mohamad Amir, pengusaha kafe tersebut.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa; Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; serta Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi.
Sumber: Dr. Mohamad Salbihan Salman
continue reading
Related Posts
NILAI – Karnival Mahasiswa Islam Madani anjuran Fakulti Kepimpinan dan […]
REMBAU – Seramai 37 mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi, USIM, […]
LAUSANNE – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat sejarah apabila […]